Pantang Dicabar!

1 comments

Ya. Memang sifat semula jadi kebanyakan pemuda, kita pantang dicabar. Maklumlah, kudrat tengah banyak, naluri meluap-luap dan semangat sedang berkobar-kobar, maka jangan dibawa main tentang para pemuda. Kata saja apa, pasti pemuda itu akan menyahut dengan hebatnya.

Cuma yang membezakan, apa yang dicabar itu. Ya, tentang apa pemuda itu dicabar. Dicabar dengan keburukan, maka ia akan menjadi binasa. Dicabar dengan kebaikan, maka ia akan menjadi pemuda islam yang umat nanti-nantikan.

Realiti sekarang

Tidak dapat disanggah, para pemuda zaman sekarang telah dibawa ke arus yang salah. Salah siapa? Terlalu banyak faktor untuk dinyatakan disini.



"Bro, malam ni jom. DOTA(or PES/CS n yg seangkatan dengannya) sampai kul 4 pagi"

"Ha'ala. Kul 4 je. Tak yah tido langsung la, baru mantop"

Akhirnya, subuh mereka entah kemana. Kepada siapa yang berbuat seperti diatas, tetapi masih dapat menjaga solat subuh, tahniah saya ucapkan.

"Mat, cun kot awek tu. Aku cabar ko tackle die"

"Common la, ini Mat Ensem kot. Sape tak nak kat aku. Just give me one week, and she will be mine. Hahaha"

Akhirnya pergaulan bebas merebak, dan maksiat pun bercambah.

Wahai pemuda islam....

kini sudah tiba masanya kita bangkit dari tidur yang lama. Sudah cukuplah kita dipermainkan oleh musuh-musuh islam. Mereka sentiasa cuba menipu kita dengan muslihat mereka yang kotor. Kinilah masanya, kita membersihkan hati ini, bangkit bersama memacu kegemilangan Islam. Biar musuh-musuh Islam itu nanti tercengang dan menggeletar apabila melihat ombak kebangkitan pemuda Islam yang menggila, dan tiada lagi dapat disekat.

Cabarlah dirimu

Gunakanlah semangat pemuda yang berkobar-kobar itu untuk membangunkan jati diri muslim sejati dalam diri kita. Oleh itu, cabarlah dirimu. Ya, cabarlah dirimu sendiri. Untuk kita melihat sejauh mana diri ini benar-benar hebat seperti yang disangka-sangkakan.

Dalam ibadah:

"Aku cabar, hari ini aku mesti habiskan satu juz al-Quran"

Namun, bagi mereka yang masih baru, mulakanlah perlahan-lahan. Contohnya, 5 page sehari, kemudian 10 page sehari dan akhirnya yang paling afdhal, satu juz sehari.

"Aku cabar, hari ini maghrib dan isya' aku mesti berjamaah di masjid"

Kemudian, jika berjaya, naikkan 4 waktu dan paling mantap full 5 waktu jamaah di masjid.

Jika kita tidak mampu menyahut cabaran-cabaran ini, maka tanyalah diri sendiri, dimana tahap kita pada hari ini. Jika pemuda di Palestin hari ini sudah berani berhadapan dengan maut demi Islam, adakah kita terlalu lemah untuk berhadapan dengan nafsu diri sendiri?

Wahai pemuda, jika engkau berjaya, maka istiqamahlah, walaupun ianya hanya amal yang kecil. Kemudian, tingkatkan amalmu sedikit demi sedikit. Jangan dipaksa diri untuk membuat amal secara mendadak, kerana ia akhirnya hanya akan membuat dirimu penat dan sangat besar kemungkinan kamu akan berputus asa dan menjadi lebih teruk sebelum itu.

Luaskan pemikiranmu!

Cabarlah dirimu untuk apa sahaja kebaikan, baik untuk dirimu sendiri mahupun utnuk agama.

Dalam pelajaran contohnya, cabarlah diri untuk mendapat grade yang bagus. Jika engkau gagal walaupun sudah berusaha, janganlah engkau berasa lemah. Kerana Allah sentiasa ada disamping hamba-hambaNya yang bertakwa.

Satu masa nanti

Wahai pemuda-pemudi Islam. Jika kamu benar-benar tekad dan komited untuk membina diri menjadi pemuda yang hebat imannya, tinggi takwanya, dan mantap ruhnya, maka saya yakin, satu masa nanti umat ini akan menyaksikan para pemuda yang tidak pernah lagi mereka saksikan. Para pemuda yang tidak suka berhibur, apatah lagi bermaksiat. Para pemuda yang dekat hatinya dengan tuhannya. Para pemuda yang disiang harinya bak singa di rimba, tetapi di malam hari air mata mengalir deras di pipi mereka. Maka, para pemuda inilah yang akan mengubah dunia ini yang sedang tenat ini, dan meletakkan kembali Islam di puncaknya, dimana ia sepatutnya berada.


Sekian wassalam.