Ya Syabab

Assalamualaikum. Segala puji kepadaNya kerna memberikan kita ruang masa dan tenaga untuk bersama-sama pada kali ini. Selawat dan salam kepada Nabi junjungan kita, yang telah berjuang dengan tulus ikhlas demi Islam pada hayat hidupnya.
Apa yang mahu saya sampaikan merupakan apa yang saya mahu laungkan di seluruh pelusuk dunia, seruan kepada pemuda-pemudi Islam, seruan kepada generasi muda muslim, seruan kepada tonggak-tonggak agama. Ia, kamu, rakan-rakanmu dan saya sendiri. Kita adalah pemuda-pemudi Islam, lantas kita adalah kekuatan agama yang kita anuti. Namun, apa yang berlaku kini tidak seperti itu. Musuh-musuh Islam telah berjaya membuatkan kita hanyut dalam nikmat dunia yang sedikit cuma, melenakan kita dalam seronoknyanya hiburan, menodai kita dalam enaknya maksiat dan menjadikan kita menganggap entengnya dosa. Justeru, apa yang mahu saya sampaikan tulus untuk menyeru rakan-rakan saya, saudara-saudara saya dan pemuda-pemudi Islam seluruhnya, moga-moga diri kita disedarkan olehNya, mata, telinga dan hati kita diterangkan oleh yang Maha Pengasih. Amin….
Saudaraku!
Ramai daripada kita yang mengetahui akan hadis yang menyebutkan tentang ingat lima perkara sebelum lima perkara. Ianya pernah dipopularkan dengan alunan merdu oleh kumpulan nasyid Raihan.
Hadis itu berbunyi,
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, yaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian.” (Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi dari Amru bin Maimun r.a.)

Sudah ramai para penceramah dan ustaz-ustaz berbicara panjang lebar tentang sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Tapi jarang sekali kita mendengar atau membaca ulasan-ulasan untuk peringatan nabi yang ditujukan khusus untuk golongan kita, iaitu masa muda sebelum hari tua. Kenapa agaknya nabi berkata ‘rebut masa mudamu sebelum masa tuamu’??
Saudaraku,
Seorang pemuda pastinya mempunyai tenaga yang banyak, desire yang tinggi dan keberanian yang tiada limitnya. Oleh itu, wajarlah kita untuk menggunakan segala kelebihan ini sebelum kita dimamah usia. Namun, cara apa yang sepatutnya kita menggunakan kelebihan masa muda ini? Adakah dengan sekadar ‘sibuk’ dengan hiburan, game, movie dan etc. Atau kita menggunakan kelebihan kita ini untuk mendidik diri dan hati menjadi pemuda islam yang dekat dengan tuhannya, dekat degan al-Quran, dekat dengan hadis dan mencintai ibadah-ibadah kepada Allah. Adakah kita kearah menjadi pemuda dunia atau pemuda Islam?
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tujuh golongan manusia yang akan dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya, pemuda yang hidup dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Lihatlah, betapa besarnya ganjaran yang menunggu untuk pemuda yang punya jati diri, untuk pemuda yang kukuh hatinya, untuk pemuda yang berjiwa mukmin. Inilah sepatutnya parameter yang perlu ada dalam diri setiap remaja. Apabila berkata tentang mengabdikan diri kepada Allah, bukanlah bermakna kita perlu sentiasa berada di masjid untuk beribadah atau perlu menjadi ustaz. Tapi, pemuda yang mengabdikan diri kepada Allah adalah pemuda yang sentiasa tahu tujuannya diturunkan kebumi, sentiasa sedar perlakuan, percakapan dan apa yang terlintas di hatinya diketahui oleh yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Jika mahu berfacebook contohnya, dia tahu tahu batas-batas yang perlu ada, jika ada group discussion dengan berlawanan jantina contohya, dia tahu batas-batas yang perlu dijaga. Jika dia seorang engineer atau doktor, dia menjadi engineer atau doktor yang beriman dan bertakwa.
Sabda Baginda SAW bermaksud:
Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak memiliki sifat kebudak-budakan.”
Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta’labah, salah seorang daripada para sahabat Nabi s.a.w. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung.
Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah s.a.w. Namanya Ta’labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam,beliau selalu mengikut Rasulullah mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah akan khabarkan kepada Ta’labah. Suatu hari Rasulullah menyuruh Ta’labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Ta’labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka ditiup angin dan Ta’labah terlihat seorang perempuan sedang mandi. Ta’labah terus berkata;
” A’uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril beritahu kepada Rasulullah s.a.w! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah…”
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada gua. Ta’labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Rasulullah s.a.w menanti kepulangan Ta’labah beberapa hari namun Ta’labah tidak kunjung tiba lalu Rasulullah s.a.w mengarahkan Saidina Umar untuk mencari Ta’labah dan Saidina Umar terjumpa Ta’labah di tempat dia sembunyi tadi. Umar berkata;
“Ta’labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu.”
“Kenapa, sudah turun kah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tak nak masuk neraka, aku tak nak masuk neraka.” Kata Ta’labah dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh sebab Ta’labah sudah sangat lemah, Umar memimpinnya balik kerumah. Apabila Rasulullah s.a.w menziarah Ta’labah, Ta’labah sedang terlentang lalu Rasulullah s.a.w meriba kepala Ta’labah tetapi Ta’labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya;
” Kenapa wahai Ta’labah?”
” Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu,wahai Rasulullah” kata Ta’labah.
” Apa yang kamu mahu Ta’labah?”
” Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah”
” Apa cita-cita kamu wahai Ta’labah?”
” Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku.”
Lalu Rasulullah s.a.w berkata:
” Wahai Ta’labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu.”
Lalu Ta’labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah s.a.w. Yang menariknya, ketika mayat Ta’labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Ta’labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Ta’labah dalam keadaan berjalan yang agak tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya:
” Wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?”
Rasulullah menjawab:
” Kamu tidak melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Ta’labah ke kubur.”
Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Ta’labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah walaupun dia tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah s.w.t. Akhirnya matinya di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!
Wahai pemuda berjiwa besar,
Sama-sama kita melihat kemana tujuan hidup kita diacukan, apakah kemuncak kejayaan yang kita idam-idamkan. Mungkin ramai dari kita yang mahukan kereta sport yang berkelajuan tinggi, citakan kerjaya yang beri pulangan lumayan, idamkan isteri yang lagak seperti model. Namun tahukah saudara ada sesuatu yang lebih besar dan tinggi nilainya. Itulah keredhaan dan keampunan Allah! Itulah syurga Allah!
O saudaraku....
Sama-sama kita persoalkan dimana keadaan kita pada hari ini. Apakah hati kita sudah sama seperti Ta’labah atau selama ini dibuai kenikamatan dunia.
Sama-sama kita insafi betapa banyaknya masa yang kita telah bazirkan dengan hiburan dunia, betapa sedikitnya masa yang kita luangkan untuk menggapai keredhaan Allah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya daripada diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Tangisilah, tangisilah..........dan takutklah kita kepada azab Allah.
Apakah jika Allah bertanya tentang masa muda kita nanti, kita akan menjawab dengan muka yang penuh riang menunggu balasan syurgaNya, atau kita akan menggeletar ketakutan dan bermurung kerana memikirkan azab neraka yang bakal menimpa kita?
Tanyalah diri kita sendiri, kerana kita lebih mengetahui tentang diri ini.

0 comments:

Post a Comment