Bak sejernih susu, itulah ikhlas

Ikhlas adalah rahsia antara Allah s.w.t. dan hambaNya. Ia tidak diketahui malaikat, sehingga dia tidak berkuasa menulisnya. Tidak pula diketahui syaitan, sehingga dia tidak berkuasa merosakkannya. -Amru Khalid, Islahul Qulub (Penyucian Hati)
Ikhlas merupakan satu perkara yang cukup berat, dan seharusnya diberi perhatian oleh setiap muslim. Kerana tahap ikhlas yang berbeza, seorang mendapat ganjaran satu pahala, tetapi yang seorang mendapat 700 kali pahala, sedangkan secara zahirnya, perbuatan mereka sama. Seorang pejuang agama, seorang dermawan dan seorang alim yang banyak mengajar secara zahirnya merupakan hamba Allah yang soleh dan sepatutnya ditempatkan di syurga. Tetapi akhirnya mereka adalah tiga golongan pertama yang akan masuk ke neraka, kerana apa? kerana mereka tidak ikhlas.Bukankah ini apa yang disebutkan oleh nabi s.a.w. dalam sebuah hadis

"Dan sesungguhnya pada binatang ternakan itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum daripada apa yang berada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya." (An-Nahl : 66)

Allah mahu kita mengambil ibrah daripada perkara ini. Yang Maha Pengasih mengurniakan kita air susu yang jernih dan tidak bercampur walau setitik air kotor pun, sedangkan ia datang antara "tahi dan darah". Untuk siapa? untuk hambaNya yang dicintai. Tetapi, bagaimana pula dengan amal kita? Adakah amal kita sudah benar-benar bersih dari sebarang perkara dan hanya dilakukan untuk taat kepada Allah. Inilah apa yang disampaikan oleh Amru Khalid dalam buku Islahul Qulub.

Inilah, contoh pertama sekali saya kemukakan agar saya boleh berkata: "Marilah kita membandingkan keikhlasan kita dengan air susu murni.

Perhatikanlah ungkapan 'susu yang murni' (labanan khalisan), maka demikianlah ikhlas dalam beramal. Ianya harus bersih dari segala jenis campuran.
 Jika ingin mengetahui darjat amal kita, bandingkan dengan gambaran ayat ini!

 Kemudian, mari kita jawab pertanyaan-pertanyaan ini.

  • Apakah di dalam amal kita ada campuran (tidak hanya untuk Allah) ?
  • Apakah kita suka dilihat manusia saat melakukan solat?
  • Apakah kita suka manusia berterima kasih dan memuji kerana perbuatan kita yang mulia?
  • Apakah kita suka jika manusia menganggap kita orang yang komited kepada agama?
  • Pernahkah perkara ini terdetik di hati kita walaupun sebentar?
  • Apakah kita membayangkan dalam kehidupan ini ada air susu yang bercampur dengan kotoran?
Ingatlah, Allah tidak memberi kita air susu, kecuali jika susu tersebut bersih dan jernih. Apakah kita akan memberinya amal yang bercampur?!

Satu lagi perkara menarik yang disentuh oleh Amru Khalid dalam bab ini ialah tentang pandangan sesetengah orang bahawa ikhlas hanya perlu hadir untuk perkara ibadah, dan tidak perlu untuk perkara dunia dan kebiasaan.

Perkara ini salah sama sekali. Kerana apa? Kerana...

"Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam." (Al-An'am : 162) 

 Nah, bukankah kita sudah berikrar kepada Allah tentang perkara ini paling kurang 17 kali sehari?! Bukan sahaja solat dan ibadah, malah hidup dan mati juga hanyalah untuk Allah.

Sekian sahaja wassalam,

0 comments:

Post a Comment